Tan Sri Muhyidin bidas tindakan PKR letak calon di Bukit Selambau

on Tuesday, March 31, 2009




Tindakan PKR meletakkan calon di Bukit Selambau disifatkan perbuatan yang memalukan parti itu sahaja kerana wakil rakyat mereka sebelum ini lari dan meletakkan jawatan sebagai Exco kerajaan negeri Kedah.

Parti itu juga sudah menunjukkan kegagalan ideologi mereka selain hanya berjuang untuk kepentingan individu tertentu dalam PKR terutama untuk Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sepatutnya mereka malu letak calon..apa tujuan kalau letak calon, memang dan kemudian lari,” kata Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mendengar taklimat jentera Barisan Nasional bagi pilihanraya kecil Bukit Selambau di Aman Jaya, Sungai Petani Isnin.

Menurut beliau, rakyat sudah memberi peluang kepada PKR dalam pilihanraya lalu tetapi wakil rakyat mereka gagal buat kerja dan lari daripada tanggungjawab.

Padalah pilihanraya lalu, calon Bebas V.Arumugam menenangi kerusi DUN Bukit Selambau tetapi menyertai PKR seterusnya dilantik anggota Exco sebelum meletakkan jawatan pada 8 Februari lalu.

“Bukan kita suruh dia berhenti..Kita takut calon PKR kali ni juga lari daripada tanggungjawab jika menang nanti. Wakil BN tak akan lari dan rakyat patut beri peluang kepada BN kali ini,” ujarnya.

Muhyiddin mengakui BN berdepan masalah dahulu tetapi sudah menubuhkan badan khas bagi tujuan penambahbaikkan BN dan akan mengumumkannya satu persatu.

“Kita sudah sedar, insaf serta tahu ada kelemahan. Kita tak mahu bohong. Sekarang kita letak calon paling sesuai. Jika pengundi berfikir rasional, peluang kita adalah baik,” katanya.

Calon BN, Datuk S.Ganesan yang akan menentang S.Manikumar daripada PKR serta 13 calon Bebas lain, turut hadir taklimat dan sidang media tersebut.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut menyangkal dakwaan keputusan pilihanraya kecil ini akan jadi rujukan berikut perubahan pucuk pimpinan parti UMNO dan kerajaan.

“Bagaimanapun, signifikannya ada. Ianya lebih kepada ‘feel factor’ dan ‘wow factor’. Kita telah berkempen lebih baik malah kajian sikap menunjukkan sudah ada perubahan sikap pengundi-pengundi di kawasan ini,” katanya.

Sambil menyatakan peluang BN dan PKR, 50-50 peratus, beliau berseloroh mengatakan BN perlu cari satu peratus lagi untuk menang di Bukit Selambau.

Mengenai bilangan calon yang terlalu ramai dan dianggap luar biasa, Muhyiddin berkata, faktor itu tidak begitu membawa kesan kerana mereka bertanding bukan atas dasar ideologi atau falsafah perjuangan.

“Sebaliknya mereka Cuma nak bertanding, bukan berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya.

0 comments:

Post a Comment

Komen Perlu Ditulis dengan Berhemah dan Bertanggungjawab..Sebarang komen menyalahi undang undang akan ditanggung sepenuhnya oleh anda...