Calon BN PERKENAL DIRI

on Monday, March 30, 2009



Berdialog, ceramah cara Pemuda BN dekati golongan muda: RAZALI IBRAHIM




Pemuda BN akan menggunakan pendekatan berdialog dan ceramah untuk mendekati golongan muda agar menyokong parti itu dalam tiga pilihan raya kecil yang diadakan serentak pada 7 April ini.

Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Datuk Razali Ibrahim berkata, pendekatan itu berbeza dengan yang dijalankan sebelum ini di mana pihaknya memilih menggunakan ceramah-ceramah besar untuk mendekatkan diri dengan pengundi muda. Penggunaan ceramah-ceramah besar tanpa dialog tidak memuaskan hati golongan muda kerana mereka tidak berkesempatan meluahkan perasaan.

''Pengalaman lalu menunjukkan kaedah berdialog melalui ceramah sangat memberangsangkan maklum balasnya di mana mereka dapat meluahkan hati dan perasaan terhadap isu-isu yang terbelenggu. Pemuda BN juga diamanahkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menjalankan kajian mengenai sikap pengundi muda yang ditemui dan membuat profil mengenai mereka," ujarnya kepada wakil media ketika ditemui selepas melawat Bilik Gerakan Induk Pemuda BN Parlimen Bukit Gantang semalam.

Beliau berkata, kajian sikap dan profil ini bukan hanya dibuat dalam tempoh pilihan raya tetapi berterusan selepas itu bagi memudahkan Pemuda BN mendekati golongan terbabit, mengenal pasti masalah mereka dan membantu menyelesaikan masalah tersebut.

''Saya rasa pendekatan baru yang diperkenalkan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menjadi Presiden menunjukkan kesungguhan bahawa kita tidak boleh lagi leka dan memandang ringan soal modal insan sebagai satu elemen penting dalam membentuk kerajaan. Ini kerana kita menyedari bahawa 90 peratus daripada mereka yang tergolong dalam kumpulan ini ialah mereka yang dilahirkan selepas merdeka," katanya.

Mengenai Parlimen Bukit Gantang, Razali berkata, pihaknya mengenal pasti terdapat beberapa keperluan perlu disediakan kepada golongan ini iaitu kemudahan sukan dan peluang ekonomi terutama masalah pengangguran akibat krisis ekonomi dunia dialami ketika ini.

''Jadi, kita akan pastikan seluruh jentera kita dapat mengenal pasti kumpulan-kumpulan ini dan bertanya bagaimana kita dapat membantu dan menyediakan apa keperluan mereka. Kita mahu mendekati mereka secara tersusun bukan seperti pembangkang atau parti-parti lain yang gunakan pilihan raya untuk berpolitik kerana BN memikirkan tentang mutu kerja semasa pilihan raya dan selepasnya," katanya.


Sumber : http://sahabatgunung9506.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Komen Perlu Ditulis dengan Berhemah dan Bertanggungjawab..Sebarang komen menyalahi undang undang akan ditanggung sepenuhnya oleh anda...