Anwar hanya mahu perkuda rakyat Sarawak

on Tuesday, March 31, 2009

LUBOK ANTU (Sarawak) - Ada kira-kira 4,000 orang penyokong calon di Kompleks Sukan Lubok Antu, pusat penamaan calon pilihan raya kecil DUN Batang Ai. Bilangan penyokong calon BN, Malcolm Mussem Lamoh hampir sama banyak dengan penyokong calon PKR, Jawah Gerang.

Barangkali ia melambangkan betapa sengitnya pertarungan satu lawan satu di Batang Ai, sebuah kawasan terpencil yang berpusat di pekan Lubok Antu dekat sempadan Indonesia, kira-kira enam jam perjalanan dengan kereta dari Kuching.

Kata orang ramai, ini perlawanan 50-50. Kata orang-orang PKR, ini perlawanan 55-45 (55 PKR dan 45 BN). Kata orang-orang BN pula, BN akan menang.

Kerusi kawasan itu kosong berikutan kematian penyandang dari BN bagi empat penggal, Datuk Dublin Unting Ingkot yang juga Pembantu Menteri Sukan dan Pertanian Sarawak dan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), pada 24 Februari lalu akibat serangan angin ahmar. 

Dalam pilihan raya negeri 2006, Unting Ingkot menang hanya dengan majoriti 806 undi. Ini menunjukkan betapa sengitnya pertarungan di Batang Ai.

Kira-kira 40 peratus daripada 22,270 penduduk Batang Ai dari 238 rumah panjang bergantung kepada sungai untuk tujuan pengangkutan. Khabarnya hampir kesemua bot telah ditempahsewa lebih awal oleh PKR. Jentera kempen BN terpaksa memerah kepala dan duit untuk mencari pengangkutan lain melalui sungai dan darat. Liciknya perancangan PKR. 

Mengikut daftar pilihan raya, terdapat 8,600 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 95 peratus Iban di kawasan yang sangat luas sekitar 1,341 kilometer persegi dengan 24 pusat pengundian dibuka pada hari pengundian.

Ketika pilihan raya kecil Batang Ai berlangsung serentak dengan pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau di Kedah dan kawasan Parlimen Bukit Gantang, Perak, tumpuan di Semenanjung tentulah lebih ke kawasan `dua bukit' itu di mana BN berhadapan dengan Pas dan PKR.

Namun perhitungan di Batang Ai bukan calang-calang pentingnya. Ini adalah gelanggang bagi PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengukur sejauh mana pengaruhnya di negeri yang sekian lama menjadi kubu BN di bawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Objektif Anwar amat jelas iaitu menarik para pengundi di Sarawak dan seterusnya Sabah bagi menyokong pakatan pembangkang Semenanjung (PKR,DAP dan Pas) menggulingkan BN di peringkat Parlimen bagi mencapai cita-citanya yang tidak kunjung padam untuk menjadi Perdana Menteri.

Keputusan pilihan raya umum (PRU) 2008 telah menunjukkan betapa pakatan pembangkang pimpinan Anwar gagal menumbangkan BN kerana tidak mendapat sokongan di Sarawak dan Sabah. Anwar selanjutnya cuba menarik ahli-ahli Parlimen BN di Sarawak dan Sabah melompat ke pakatan pembangkang dan menetapkan 16 September 2008 (hari ulang tahun Sarawak dan Sabah bergabung dengan Semenanjung di bawah pembentukan Malaysia) sebagai tarikh keramat menumbangkan kerajaan persekutuan BN dan menubuhkan kerajaan baru.

Berkali-kali Anwar mendakwa bahawa jumlah ahli Parlimen BN yang akan melompat sudah mencukupi bagi beliau menumbangkan BN, malah pada 15 September beliau masih lagi memberitahu wartawan bahawa rancangannya itu tetap akan berlaku. Tapi akhirnya ternyata tarikh 16 September 2008 adalah `temberang terbesar Anwar.'

Anwar yang memang terkenal dengan semangat tidak mengaku kalah tidak berputus asa selagi cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri tidak tercapai. Bekas Timbalan Perdana Menteri yang pernah dipenjara atas kesalahan rasuah itu mengubah strategi dengan memperkuatkan kempen untuk mempengaruhi rakyat Sarawak dan Sabah pula supaya menyokong beliau dan pakatan pembangkang Semenanjung.

Apabila diadakan pilihan raya kecil Batang Ai ekoran kematian Unting Ingkot, Anwar melihat ini adalah kesempatan untuk digunakan sepenuhnya bagi mempengaruhi rakyat Sarawak supaya menyokong beliau dan pakatan pembangkang Semenanjung.

Jika menang adalah bonus. Jika kalah masih tidak mengapa kerana pilihan raya kecil itu adalah landasan baginya untuk menganggu-gugat BN Sarawak dengan menanam kebencian yang diharapkan subur pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Taktik Anwar di Sarawak adalah taktik yang sama yang beliau gunakan berterusan sehingga sekarang di Semenanjung.

Pertama, laga-lagakan permusuhan antara kaum dan kedua, serang habis-habisan perbadi pemimpin tertinggi kerajaan BN Sarawak iaitu Taib Mahmud dengan menggunakan media baru yang dikuasainya, blog dan laman web.

Di Semenanjung, Anwar melalui Hindraf dan slogan Makkal Sakhti berjaya membakar semangat perkauman rakyat keturunan India dan menyerang DEB untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu terutama Cina. Apa jua bibit-bibit yang boleh membangkitkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat dieksploitasi sepenuhnya untuk menyemarakkan kebencian terhadap kerajaan BN.

Badan kehakiman dan agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan seperti polis, badan pencegah rasuah dan Pejabat Peguam Negara menjadi sasaran serangan jentera pembangkang pimpinan Anwar secara strategik dan bertali arus. Kini institusi raja pula menjadi sasaran gerakan pembangkang pimpinan Anwar dengan meniupkan isu bahawa institusi itu proBN. Segalanya dilakukan dengan satu agenda iaitu untuk menumbangkan BN dan menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Taktik menyerang pemimpin tertinggi telah Anwar gunakan sejak beliau disingkir oleh Tun Mahathir Mohamad daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Jentera penyokong Anwar yang cukup mahir dalam teknologi dan strategi propaganda media baru telah menyerang peribadi Mahathir habis-habisan. Anwar sedikit pun tidak mengenang budi Mahathir yang membawanya masuk ke dalam UMNO dan akhirnya memberikannya jalan mudah untuk menjadi penggantinya.

Tentu ada sebab yang kukuh bagi Mahathir untuk menyingkir anak didik yang pernah `disayanginya' itu. Betapa Mahahtir sayang kepada Anwar sehingga sanggup membiarkannya mengenepikan Tun Ghafar Baba, seorang veteran yang berjasa besar kepada UMNO. 

Selepas Mahathir berundur, sasaran serangan media baru proAnwar dihalakan pula kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pelbagai tulisan, kartun dan gambar yang menghina Pak Lah disumbatkan ke dalam blog dan lama web untuk membangkitkan perasaan tidak hormat dan meluat di kalangan rakyat terhadap ketua ekskutif negara, kerajaan dan parti pimpinannya.

Apabila nyata Pak Lah tidak lagi dihormati oleh rakyat dan ahli-ahli partinya sendiri (UMNO), jentera propaganda media baru Anwar mengalihkan serangan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula. Tuduhan yang paling hebat dan berterusan ialah kononnya Najib terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya. Walaupun Najib telah bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau sama sekali tidak terlibat, serangan terus dilipatgandakan. 

DAP dan Pas juga amat menyedari grand design Anwar ini. Tapi dengan rela hati mereka menyokong Anwar hanya kerana mereka sangat membenci BN yang sekian lama menjadi musuh politik utama mereka. Perasaan dendam telah menyatukan Anwar dengan DAP dan Pas untuk menumbangkan BN.

Tapi percayalah bahawa dendam adalah satu tali ikatan yang sangat rapuh dan berisiko tinggi. Jika mereka berjaya menumbangkan BN, kerjasama mereka tidak akan dapat bertahan lama kerana fahaman dan objektif politik masing-masing amat berbeza. Jika BN sudah jatuh, maka tibalah pula giliran mereka untuk mempertahan dan memperluas kuasa serta pengaruh masing-masing. Lambat laun mereka akan bergaduh sesama sendiri dan menjerumuskan petadbiran negara ke keadaan berkecamuk dan lebih tidak stabil.

Kini Sarawak menjadi gelanggang agenda peribadi Anwar. Blog-blog proAnwar telah muncul dengan meledakkan serangan peribadi terhadap Taib Mahmud yang telah memimpin Sarawak dengan stabil selama 28 tahun. Terlalu lama menjadi pemimpin adalah satu isu yang dibangkitkan selain pelbagai dakwaan lain. 

Percayalah bahawa jika Taib Mahmud berundur pada hari ini, sesiapa jua yang menggantikannya akan menerima serangan yang sama hebatnya, atau barangkali lebih kuat. Sama dengan apa yang telah berlaku ke atas Mahathir, Pak Lah dan Najib.

Apakah Anwar seorang yang sangat mulia dan tiada cacat-cela? Melihat isi kandungan serangan blog-blog proAnwar, seolah-olah begitulah mesej yang mahu disampaikan kepada rakyat Semenanjung, dan sekarang rakyat Sarawak. Pilihlah Anwar yang tidak korup, paling pandai mentadbir dan paling mulia akhlaknya!

Sayang seribu kali sayang, mereka itu mengenali Anwar hanya sepintas lalu, dari jauh dan barangkali bersumberkan propaganda para penyokong Anwar yang mahu naik bersamanya atas kepentingan peribadi.

Selain serangan peribadi terhadap Taib Mahmud, gerakan Anwar ialah melaga-lagakan kaum di Sarawak. Sasaran utama ialah kaum Dayak yang merupakan majoriti rakyat Sarawak supaya membenci lain-lain kaum utama di negeri itu terutama Melanau yang merupakan suku kaum Taib Mahmud.

Oleh kerana Taib Mahmud dan pendahulunya Tun Abdul Rahman Yaakob adalah orang Melanau, maka cara yang mudah bagi Anwar untuk melaga-lagakan kaum ialah dengan menjanjikan jawatan Ketua Menteri Sarawak kepada seorang Dayak jika pakatan pembangkang Semenanjung dapat `memerintah' Sarawak kelak.

Ini adalah bahanapi mudah terbakar bersalut gula-gula yang cukup menarik untuk disogokkan kepada para pengundi di Batang Ai yang majoritinya ialah Iban, suku terbesar kaum Dayak. Dan Anwar menyogokkannya tanpa segal-silu, sama seperti beliau menyogokkan janji `16 September 2008' kepada rakyat di Semenanjung ketika menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pauh dulu.
Sebenarnya soal pembangunan, rasuah dan apa jua isu lain adalah perkara kedua bagi Anwar yang beliau hanya gunakan untuk mendaulatkan cita-citanya yang tidak pernah kunjung padam - Anwar mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia. Bagi beliau rakyat Malaysia, sama ada di Semenanjung, Sarawak atau Sabah adalah alat sahaja.

Beliau mahu menjadi PM Malaysia untuk apa? Untuk Anwar menjadi PM, itu sahaja. Beliau percaya beliau adalah manusia yang paling layak jadi PM Malaysia. Samalah juga dengan Amerika Syarikat (sahabat Anwar) menumbangkan Saddam Hussein, untuk apa? Hanya kerana mahu menumbangkan Saddam Hussein dan membuktikan kegagahan Amerika serta Presiden Bush. Selepas tumbangnya Saddam, ternyata keadaan di Iraq lebih teruk daripada zaman pemerintahannya.

Keadaan di Iraq selepas penaklukan Amerika sudah siang-siang lagi dibayangkan Tun Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri dulu. Dan Mahahtir juga pernah menyatakan bahawa beliau adalah orang pertama yang akan meninggalkan Malaysia jika Anwar jadi PM.

Kepada para pengundi Batang Ai, percayalah bahawa Jawah Gerang telah termakan gula-gula Anwar. Tentu ada sesuatu yang tersembunyi yang Anwar telah janjikan kepada Jawah. Maka sokonglah Jawah jika anda mahu menyokong Anwar, orang yang telah menjanjikan `16 September 2008' kepada penduduk di Semenanjung

sumber - Malaysiaaktif

0 comments:

Post a Comment

Komen Perlu Ditulis dengan Berhemah dan Bertanggungjawab..Sebarang komen menyalahi undang undang akan ditanggung sepenuhnya oleh anda...